CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, December 11, 2008

Aku ada terbaca sigek artikel tentang ibadah korban dan golongan yang layak menerima daging korban, so aku paste dlm tok pakei bacaan dan pengajaran semua org yang membacanya.

"HARI ini masuk hari ketiga Aidiladha dan umat Islam hanya mempunyai masa sehingga selepas Asar esok - yang menandakan berakhirnya hari tasyrik - untuk menunaikan ibadah korban. Umat Islam yang berkemampuan memang dituntut untuk berkorban dan kita juga sepatutnya memahami hikmah dan pengajaran yang tersirat di sebalik ibadah itu, khususnya dari segi sirahnya kerana ia mempunyai kesan langsung kepada umat Islam.

Korban adalah sirah Nabi Ibrahim yang diminta Allah supaya mengorbankan puteranya Ismail sebagai menguji keimanan dan ketakwaan seorang hamba. Oleh kerana niatnya yang ikhlas dan ketakwaannya yang tulen, Allah menggantikan Ismail dengan seekor kibas.

Bagaimanapun, apakah umat Islam benar-benar menghayati konsep dan falsafah ibadah korban ini, maksudnya apakah kita memahami apa yang terkandung di sebalik amalan menyembelih haiwan berkenaan dan erti mengagih-agihkan daging korban kepada mereka yang memerlukan?

Kita sepatutnya mendalami, memikir dan menghayati firman Allah yang bermaksud: "Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berikanlah sebahagian lagi kepada orang yang sengsara lagi fakir." (Al-Haj: 22-28) Firman Allah itu sudah jelas mewajibkan umat Islam melakukan ibadah korban, tetapi satu perkara yang perlu kita fikirkan bersama ialah bagaimana ibadah itu dapat kita laksanakan dengan sempurna.

Perkara ini kita timbulkan kerana menyedari ada di antara umat Islam yang tidak memahami maksud ibadah korban yang sebenarnya. Tidak hairanlah ada yang berkorban semata-mata kerana ramai rakan dan jiran mereka berbuat demikian atau mahu menunjuk-nunjuk mereka ada duit ketika kegawatan ekonomi sekarang. Akibatnya mereka tidak memberi perhatian sewajarnya dalam soal pengagihan daging haiwan yang dikorbankan.

Selain itu, kita juga sedih kerana ada di kalangan mereka yang melaksanakan ibadah korban tidak membuat persediaan sewajarnya sehingga daging korban tidak diagih-agihkan seperti yang dituntut. Malah, ada pihak yang mengambil jalan mudah dengan memberikannya kepada sesiapa saja tanpa mengambil kira apakah penerima itu layak atau tidak.

Dalam hal ini, kita memuji langkah Kerajaan Kedah yang mewujudkan Pusat Penyembelihan dan Pengedaran Daging Korban bagi memastikan pengagihan dapat dibuat dengan sempurna. Kita juga sedar kebanyakan tempat menubuhkan jawatankuasa peringkat kariah masjid dan surau untuk menguruskan perkara itu, tetapi yang menjadi masalah ialah mereka yang melaksanakan ibadah korban secara sendiri atau keluarga.

Mengagih-agihkan daging korban bukanlah mudah. Kita perlu memastikan mereka yang layak saja menerima daging korban itu, termasuk fakir, miskin, mereka yang menguruskan korban dan jiran tetangga. Dalam keadaan sekarang, golongan fakir atau mereka yang mempunyai pendapatan tidak memadai dengan keperluan agak sukar untuk dikesan, kecuali jika kita merujuk kepada senarai yang ada pada pihak berkuasa agama yang menguruskan pengagihan zakat fitrah atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Apa yang berlaku sekarang ini, ada pihak yang melakukan korban hanya memberi keutamaan kepada jiran tetangga dan mereka yang menguruskan majlis, manakala golongan fakir dan miskin hanya diagihkan daging korban jika berlebihan. Malah, ada juga kes yang mana mereka yang berkorban ini berebut-rebut daging korban hingga menimbulkan keadaan yang tidak menyenangkan.

Sebenarnya, soal pengurusan ibadah korban ini boleh dibuat dengan sempurna jika pihak berkuasa agama dapat memberikan garis panduan sewajarnya seperti memastikan setiap kariah mempunyai jawatankuasa khas untuk menguruskan majlis korban, di samping mengenal pasti lebih awal lagi mereka yang layak mendapat daging korban.

Selain itu, bagi memastikan fakir miskin yang tinggal jauh di kampung dan pedalaman dapat turut menikmati daging korban, sebuah badan khas perlu diwujudkan untuk mengawasi dan menguruskan majlis korban. Badan berkenaan hendaklah menyediakan kontena sejuk yang boleh membawa daging korban untuk diagih-agihkan kepada fakir miskin di kawasan berkenaan, terutama yang tidak ada majlis korban. Mungkin Baitulmal atau majlis agama Islam negeri boleh memikirkan perkara ini sesuai dengan fungsi mereka membantu golongan fakir dan miskin."

0 comments: